Angkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar

Ketika Menteri Besar dan 10 EXCO Terengganu dijadual mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin malam itu, Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Husein Awang tidak menamakan siapa Menteri Besar dan EXCO terbabit. Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa pihak media boleh mengetahuinya sekiranya pandai mencarinya selepas majlis angkat sumpah yang mungkin mengambil masa hingga dua jam.[2] Sebelum ini dilaporkan bahawa PAS mencongak tiga nama untuk dilantik sebagai Menteri Besar termasuklah Dr Ahmad Samsuri. Khabar angin nama Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Setiausaha Politik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak 2008 bertiup kencang dalam kalangan kepimpinan parti itu sebelum ini. Ahmad Samsuri yang juga bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar aeroangkasa terpilih antara calon Menteri Besar dalam usaha parti itu menampilkan generasi kepimpinan baharu di negeri itu dengan menggembleng tenaga teknokrat dan ulama. Akhirnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diangkat sebagai Menteri Besar Terengganu setelah mengangkat sumpah di hadapan baginda Sultan Mizan Zainal Abidin.